Pengerusi UniKL MITEC, Datuk Dr. Adham Baba berkata, pihaknya mahu menerajui bidang pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) serta keusahawanan dalam kalangan generasi muda negara ini.

Bagi merealisasikan hasrat itu, pihaknya sudah melancarkan program WE4ASIA 2020 yang memberi penekanan kepada pembelajaran secara amali dan mengumpul pengalaman.

"Bagi memastikan universiti ini dapat berbakti kepada komuniti, UniKL harus memiliki budaya penyelidikan yang berkesan untuk memacu kecemerlangannya.

"Kita akan terus berusaha melengkapkan graduan kami dengan pengetahuan dan kepakaran yang diperlukan selari dengan kehendak industri khususnya dalam bidang teknologi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Seminar Penyelidikan dan Pameran Inovasi Antarabangsa (IRCIE) 2016 di Pusat Persidangan Antarabangsa Persada, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pemangku Presiden (International, Industrial & Institutional Partnership) UniKL, Prof. Datuk Ahmad Zahir Mokhtar dan Penolong Pengurus Besar LPJ, Kamaruzaman Munasir.

Program tiga hari anjuran Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) yang bermula semalam itu melibatkan 243 peserta seminar akademik, 40 projek inovasi dan 45 poster kajian melibatkan universiti dalam dan luar negara.

Seminar bertemakan Towards Innovation and Diversity in Industrial Engineering Technology itu bertujuan mengumpulkan

penyelidik bagi berkongsi ilmu dan idea tentang kajian mereka selain memupuk budaya penyelidikan dan inovasi dalam kalangan penuntut. - UTUSAN ONLINE

Source : http://www.utusan.com.my/pendidikan/unikl-mitec-teraju-bidang-tvet-lahir-tenaga-kerja-mahir-1.396886#VersionedContentId(1.396887.1476865359)