MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) telah menerajui pembangunan Bumiputera sejak 55 tahun. Sebagai sebuah agensi kerajaan diberi mandat pada1Mac 1966, MARA terus mencatur pembangunan meliputi Keusahawanan, Pendidikan, Pelaburan dan Khidmat Pengurusan. Sejarah penubuhan MARA bermula apabila desakan untuk mengkaji semula peranan Rural and Industrial Development Authority (RIDA) yang lebih bersifat kepada penyediaan infrastruktur.
Oleh itu, Kongres Ekonomi Bumiputera pada 1965 bersetuju mewujudkan MARA, sebuah badan khas yang lebih memfokuskan pembangunan modal insan Bumiputera. Bersempena dengan itu, setiap tahun MARA akan meraikan sambutan Hari MARA yang jatuh pada1Mac. Tahun ini ia diadakan secara maya di semua pusat pentadbiran MARA.
Bertemakan ‘Menjunjung Amanah Mendepani Masa Hadapan’ yang memberi fokus kepada cabaran masa kini dihadapi negara. Pengamalan norma baharu dalam wadah perjuangan diterapkan dengan membawa perubahan yang relevan dan menjadikan MARA pemangkin utama ekonomi negara. Ikuti wawancara bersama Pengerusi MARA, Datuk Azizah Mohd Dun.
SOALAN (S): Sepanjang 55 tahun penubuhan MARA, kita telah saksikan agensi ini berjaya membawa usahawan Bumiputera ke satu aras yang boleh dibanggakan. Apakah cabaran utama MARA untuk sampai ke tahap ini?
Jawapan (J): Agenda membangunkan usahawan Bumiputera bukan satu tanggungjawab mudah yang digalas oleh MARA. Cabaran utama adalah apabila negara mengalami ketidaktentuan dalam landskap ekonomi dan politik yang sedikit sebanyak telah menjejaskan prestasi perniagaan usahawan Bumiputera.
Satu lagi cabaran hebat yang dihadapi adalah apabila MARA menginjak ke 55 tahun, negara berhadapan dengan pandemik COVID-19 yang melanda sejak Mac 2020. Situasi sukar ini menjejaskan operasi MARA secara keseluruhan yang mana aktiviti dan program terpaksa dihentikan dan sebahagiannya berjalan atas talian.
Dalam melangkah ke hadapan, saya berasakan bahawa terdapat keperluan mendesak untuk mendigitalkan operasi dalaman MARA agar kita dapat memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada usahawan Bumiputera agar terus kekal relevan.
Digitalisasi tidak lagi menjadi trend atau pilihan, tetapi keperluan untuk memastikan perniagaan dapat terus bertahan dan kekal berdaya saing. MARA perlu bekerja dengan lebih keras untuk memastikan usahawan terus merangkul pendigitalan dalam semua aspek perniagaan mereka supaya terus bertahan dalam persekitaran dinamik ini.
Bagi merealisasikan hasrat ini, MARA perlu meningkatkan kecekapannya dalam pembangunan produk untuk membolehkan penghasilan lebih banyak pilihan dan inovasi yang lebih pantas.
Saya mengharapkan MARA menjadi agensi utama dalam semua perkara berkaitan keusahawanan dan menjadi agen pemangkin perubahan dalam ekosistem.
Untuk membangunkan usahawan ke satu aras seperti hari ini bukan hanya memerlukan perspektif menyeluruh, bahkan ia harus disertai dengan sumber mencukupi yang diuruskan dengan cekap untuk menyokong inisiatif yang dirangka bagi mencatat pertumbuhan dan pengembangan perniagaan khususnya kepada Bumiputera.
S: Penularan wabak pandemik COVID-19 adalah satu ancaman kepada usahawan PKS, boleh jelaskan bagaimana MARA membantu usahawan untuk bangkit semula?
J: Untuk menangani situasi semasa ini, MARA sebagai agensi yang prihatin melaksanakan pelbagai usaha membantu usahawan meneruskan operasi perniagaan mereka.
Latihan keusahawanan diteruskan secara atas talian seperti FB Live Biz Talk, Webinar dan Biz Network. Program yang dilaksana menggunakan platform ini berjaya menarik kira-kira 600,000 peserta. Malah, program Biz Network mencapai outcome program apabila rata-rata usahawan yang menyertai program ini berjaya mencapai peningkatan jualan sebanyak 20 peratus.
Melalui Pakej Rangsangan Ekonomi, MARA diperuntukkan RM50 juta bagi Program Peningkatan Imej Premis Perniagaan MARA membabitkan 1,217 premis dan program ini memberi manfaat kepada 1,217 kontraktor daripada kelas G1, G2 dan G3.
Selaras dengan hasrat kerajaan juga, menerusi program Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) MARA mewujudkan PENJANA IPTS bagi membantu usahawan IPTS meneruskan kelangsungan operasi yang terjejas akibat pandemik di bawah strategi Melonjakkan Perniagaan (Propel Businesses) dengan menyediakan dana melalui Skim Pembiayaan Mudah Jaya (SPiM). Setakat hari ini, 19 IPTS dibantu dengan implikasi kewangan RM16.6 juta dan membabitkan hampir 19,000 pelajar.
Selain itu, MARA turut menawarkan Skim Pembiayaan Khas kepada 1,601 usahawan membabitkan implikasi kewangan RM13.26 juta.
MARA turut meluluskan dana sebanyak RM91.3 juta yang membabitkan 123 usahawan melalui Skim Pembiayaan PKS bagi tujuan memperkukuhkan kembali modal pusingan perniagaan.
Selaras dengan norma baharu yang perlu diadaptasi, MARA turut membantu usahawan memasarkan produk melalui kaedah digital. Bagi tujuan ini, MARA berkolaborasi bersama pemain industri seperti Shopee bagi mendedahkan usahawan dengan kaedah pemasaran atas talian. Peserta yang menyertai program ini akan melalui sesi latihan yang akan dilaksanakan sendiri oleh Shopee.
MARA turut mengadakan karnival jualan secara virtual melalui karnival E Jana NIAGA yang menawarkan lebih 40,000 pilihan Stock Keeping Unit (SKU) produk. Program ini merangkumi pameran, aktiviti jualan, seminar dan workshop keusahawanan, pelancaran produk usahawan serta Pavilion yang memberi informasi terkini Sektor Keusahawanan MARA.
Penyewa premis perniagaan MARA turut ditawarkan pengecualian dan diskaun sewa 30 peratus kepada penyewa yang layak.
Tidak hanya dengan inisiatif di atas, baru-baru ini Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengumumkan inisiatif tambahan kepada usahawan melalui Pakej Permai iaitu Program penjadualan semula pembiayaan perniagaan MARA serta Pemberian diskaun 30 peratus kepada semua penyewa premis perniagaan MARA bagi tempoh 6 bulan mulai November 2020 hingga April 2021.
S: Bagaimana MARA memastikan fasiliti keusahawanan yang disediakan untuk usahawan sentiasa relevan dan mengikut kehendak pasaran?
J: Fasiliti keusahawanan yang disediakan dalam bentuk pelaksanaan program pembangunan keusahawanan yang diselaraskan semula berdasarkan keperluan dan perkembangan semasa pada peringkat global dengan memberikan fokus beberapa bidang tumpuan iaitu latihan dan pembangunan kapasiti, pembiayaan perniagaan, geran penyelidikan, penyediaan infrastruktur/premis perniagaan, teknologi dan akses kepada pasaran.
Program khas keusahawanan dirangka bagi meluaskan lagi rantaian perniagaan usahawan di samping merapatkan jurang antara usahawan yang bertaraf global dan usahawan kecil. Program khas ini turut mendapat kerjasama daripada pemain industri serta rakan strategik bagi memantapkan lagi pembangunan dalam industri fokus yang disasarkan.
Sasaran program ini ialah untuk mengoptimumkan prestasi serta mewujudkan peluang untuk usahawan berkembang dan memajukan perniagaan mereka menerusi peluasan pasaran, inovasi dan peningkatan produktiviti.
S: Ekosistem MARA jelas lengkap dengan didukung oleh dua sektor utamanya iaitu keusahawanan dan pendidikan, bagaimana MARA mengintegrasikan dua komponen ini dalam memperkasakan masyarakat Bumiputera?
J: Program teknousahawan adalah satu program yang megintegrasikan sektor usahawan dan pendidikan. Pada 2016, MARA memperkenalkan Startup and Accelerator Edupreneur Modul (MSEAD) iaitu landskap pembangunan keusahawanan komprehensif bagi melahirkan usahawan dalam kalangan pelajar dan graduan TVET MARA. MSEAD adalah sinergi antara Sektor Pendidikan dan Keusahawanan MARA melalui kaedah Embedded in Curriculum berteraskan keperluan industri (industry demand) menjadi enabler dalam mewujudkan teknousahawan dalam pelbagai bidang keperluan negara.
Sejak tahun 2000, MARA berjaya mengorak langkah menerajui pembangunan teknousahawan negara dengan memperkenalkan beberapa program antaranya Pembangunan Usahawan Teknikal (PUTEK), Program Sarjana Tekno Keusahawanan (PSTK), Program Peningkatan Teknologi Strategik (PPTS), Program Mobilepreneur, Mobile Technical Servis (MTS), MARA in Fashion (MiF), Hair in Trend (HIT), Program Teknousahawan Perabot (KBNet), Program Pembangunan Usahawan Profesional (ProSPEC) dan banyak lagi.
Fokus bagi melahirkan teknousahawan di kalangan graduan berlatarbelakangkan pendidikan TVET dan kepakaran tertentu adalah pendekatan baharu sebagai games changer bagi mempercepat proses menjadi usahawan seterusnya melonjakkan penyertaan Bumiputera dalam portfolio industri terpilih. Di samping itu, program ini juga mampu menangani permasalahan pembangunan kerjaya terhad graduan TVET dan isu gaji rendah ditawarkan industri.
S: Menyentuh berkenaan pendidikan, apa perancangan dalam jangka masa panjang?
J: MARA sudah terbabit dalam bidang pendidikan sejak awal penubuhannya, bermula dengan Maktab MARA (1965) sehingga tertubuhnya Institut Teknologi MARA (ITM) pada 1967. Kini MARA terus memperkasakan pendidikan melalui sektor pendidikan MARA iaitu pendidikan menengah, pendidikan tinggi, kemahiran dan teknikal serta penganjuran pelajaran. MARA mempunyai 340 Institusi Pendidikan MARA (IPMA) di bawahnya dengan jumlah keseluruhan 2,623,796 pelajar.
Pada peringkat pendidikan menengah MARA mempunyai 53 Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan dua MRSM akan mula dibuka bermula pertengahan tahun 2021 manakala enam MRSM masih dalam pembinaan.
Untuk mencapai matlamat menjadikan MRSM bertaraf dunia, Sistem Pendidikan MRSM (SPMRSM) memberi penekanan kepada kemahiran pembelajaran abad ke-21 merangkumi aspek kreativiti dan inovasi, pembelajaran melalui pengalaman, kemahiran berfikir, kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi (TMK), komunikasi dan kolaboratif, kemahiran insaniah dan kemahiran subjek.
MARA telah menjayakan 53 tahun Pendidikan Technical and Vocational Education Training (TVET) dan ia tidak asing lagi apabila MARA sudah melahirkan seramai 649,338 graduan sejak 1966 hingga 2020 dalam bidang profesional dan tenaga kerja mahir negara. Manakala 190,560 pelajar di bawah pendidikan tinggi dan High Techincal and Vocational Education Training (HTVET).
MARA merangka pelbagai inisiatif melahirkan intelektual yang berkualiti di pentas global. Dalam mendepani cabaran dan teknologi masa kini, MARA terus memperkasakan pendidikan melalui pembelajaran secara digital selari perkembangan teknologi semasa.
S: MARA menerajui TVET selama 53 tahun. Apakah pelan transformasi pendidikan memenuhi kehendak industri dan keperluan ketika ini.
J: Sejak penubuhan TVET MARA bermula 1968 di Institut Kemahiran MARA (IKM) Jasin, Melaka, MARA sudah menghasilkan 169,141 graduan dalam pelbagai bidang teknikal. Sehingga kini MARA memiliki 270 institusi pendidikan TVET MARA di seluruh negara.
Ia memberi tumpuan kepada pelbagai bidang pengkhususan teknikal di bawah 14 bidang utama pengajian meliputi mekanikal dan pembuatan, senibina awam, elektrik dan elektronik, minyak dan gas, kesihatan dan perubatan bioteknologi, teknologi material, teknologi maklumat dan pengkomputeran, pengangkutan dan teknologi logistik (marin, aeroangkasa, rel dan automotif), multimedia kreatif dan seni reka, hospitaliti, kulinari dan pelancongan, usahawan dan tekno usahawan, dandanan rambut dan kecantikan, fesyen dan pakaian.
Transformasi TVET MARA membabitkan rasionalisasi program, peluang laluan pendidikan dari peringkat rendah ke peringkat lebih tinggi. Sejajar dengan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) MARA merangka Pelan Transformasi 2018-2028, antaranya koordinasi bersama agensi bagi memenuhi keperluan dan permintaan guna tenaga negara. Selain itu, komponen set kemahiran diterapkan dalam kurikulum secara teori dan amali.
Kami juga menumpukan Industry Based Education and Training (IBET), pendidikan dan latihan berasaskan industri sentiasa diperkasa bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran TVET MARA sentiasa relevan dan diiktiraf industri.
Pendigitalan adalah komponen utama dalam Pelan Transformasi TVET MARA. Inisiatif transformasi digitalisasi ini diteruskan dengan peningkatan infrastruktur melalui proses menaik taraf rangkaian internet dan membekalkan internet berkelajuan tinggi.
S: Bagaimana MARA menangani golongan terjejas yang membabitkan pendidikan pelajar IPMA ketika pandemik COVID-19?
J: Tidak dinafikan segala aktiviti fizikal tidak dapat dilakukan pada masa ini, bagaimanapun MARA menyediakan platform atas talian kepada pelajar untuk mengikuti pembelajaran. Bagi memastikan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) berjalan seperti biasa, guru-guru memainkan peranan dengan menyediakan modul yang bersesuaian secara online dan offline. Untuk itu, pengamalan norma baharu diterap bagi mengelakkan pelajar ini ketinggalan dengan memberikan pendidikan berkualiti kepada pelajar.
Selain itu MARA turut membantu graduan dan belia yang terjejas dengan memperkenalkan program kemahiran dan peningkatan kemahiran, bertujuan meningkatkan kebolehpasaran golongan belia dan penganggur membabitkan 12,000 orang secara keseluruhan bagi tahun 2020 dan 2021 di bawah program PENJANA KERJAYA MARA.
S: MARA adalah antara agensi yang memberi pinjaman pelajaran untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi. Bagaimana MARA memastikan pelajar ini berpeluang mendapat kemudahan MARA?
J: Program pinjaman pelajaran MARA diwujudkan sejak 1966 dan menaja 1.445 juta pelajar. Tahun 2020, MARA berjaya menaja 51,054 orang pelajar bagi mengikuti pengajian di institusi dalam dan luar negara. Bagi tahun 2021, kerajaan memperuntukkan RM2 bilion di bawah program pinjaman yang bakal memberi manfaat kepada lebih 50,000 pelajar.
MARA akan meneruskan dasar sedia ada dengan memberi keutamaan kepada pelajar yang status sosioekonomi rendah serta menumpukan penajaan pelajaran dalam bidang strategik dan kritikal bagi mengisi keperluan modal insan negara.
MARA meneruskan usaha membangunkan masyarakat B40 melalui pendidikan dengan mengutamakan golongan ini untuk mendapatkan kemudahan pinjaman pelajaran MARA bagi mengikuti program pengajian dan latihan dilaksanakan di IPMA.
S: Adakah MARA akan terus memberi tumpuan dalam bidang pelaburan?
J: Setakat ini, MARA mempunyai sebanyak 18 syarikat aktif dengan fokus dalam pelbagai bidang meliputi keusahawanan dan pendidikan dengan memberi penekanan kepada enam (6) industri strategik iaitu aeroangkasa, institusi perkhidmatan kewangan, hartanah, teknologi maklumat (ICT), penjagaan kesihatan dan logistik. Masyarakat perlu faham bahawa pembabitan MARA dalam bidang pelaburan bukan sekadar berobjektifkan keuntungan semata-mata. Ia adalah strategi serampang dua mata di mana MARA membuka laluan kepada usahawan Bumiputera untuk terbabit dalam bidang yang belum lagi dikuasai atau diteroka oleh komuniti usahawan kita. Umpamanya kini MARA bergiat aktif dalam bidang MRO aeroangkasa.
Penglibatan MARA ini bukan sekadar membuka laluan kepada usahawan dalam bidang ini sahaja, tetapi para pelajar MARA turut kita beri peluang untuk bertapak melalui program latihan praktikal dan seterusnya menjadi pakar dalam industri ini.
Begitu juga pembabitan MARA dalam bidang pengangkutan awam melalui MARALiner. Kita sebenarnya beroperasi dengan matlamat memastikan mobiliti masyarakat luar bandar, terutama di laluan yang tidak menguntungkan dapat terus dilaksanakan. Operator bas swasta sudah pasti tidak mahu beroperasi di laluan sebegini. Justeru, kita berperanan melaksanakan obligasi sosial melalui sektor pelaburan.
Bahkan pelaburan MARA turut terbabit dalam bidang yang amat penting iaitu pendidikan melalui beberapa anak syarikat milik MARA seperti UniKL, KUPTM, KPTM, GMI dan GIATMARA dengan matlamat menjadi pemangkin dan pelengkap dalam pembangunan modal insan.
Selain itu, pembabitan dalam bidang lain seperti hartanah, kewangan dan perkhidmatan perniagaan yang lain juga adalah dengan matlamat sama, untuk melengkapkan ekosistem membangunkan kaum Bumiputera dalam pelbagai aspek.
Sebagai pengerusi MARA kini, saya menekankan aspek integriti dan akauntabiliti dalam semua keputusan membabitkan subsidiari MARA. Kita ingin pastikan segala keputusan syarikat dan langkah yang diambil untuk kepentingan masyarakat Bumiputera dan perancangan MARA pada masa hadapan.
Sektor ini akan terus menjana pendapatan apabila ia digunakan kembali untuk memastikan program keusahawanan dan pendidikan MARA digerakkan dengan lebih agresif.
S: Bagaimana untuk mengukuhkan pengurusan organisasi secara keseluruhan?
J: Sebagai sebuah organisasi yang mencapai usia 55 tahun, sememangnya usaha meremajakan MARA amat penting untuk dilaksanakan. Kita berusaha agar MARA sentiasa bergerak dengan teknologi terkini dan selaras perkembangan semasa. Apatah lagi dalam keadaan sekarang ini kita berhadapan dengan Revolusi Industri 4.0, maka sewajarnya MARA bergerak seiring untuk mengadaptasi teknologi ini.
Kita memberi tumpuan untuk memastikan pembangunan sumber manusia secara strategik dengan pelan tindakan yang menyeluruh agar warga kerja MARA dapat menggerakkan organisasi ini dengan lebih teratur demi masa hadapan kaum Bumiputera. Dengan jumlah staf MARA dan anak syarikat kini yang mencecah hampir 20,000 orang, kita ingin memastikan sumber manusia ini dapat dioptimumkan sebaik mungkin. Pada masa sama, kita memastikan aspek integriti dan tadbir urus korporat yang baik memberi kesan dan impak positif kepada organisasi.
Untuk memastikan operasi MARA bergerak dengan sempurna, kini kita mempunyai 568 pusat pentadbiran dan institusi dalam negara, termasuk lima pejabat luar negara. Untuk mendepani organisasi ini terus menakhodai pembangunan Bumiputera dalam dekad mendatang, kita akan melancarkan pelan jangka panjang 5 tahun MARA iaitu Pelan Strategik MARA 2021-2025 pada masa terdekat ini.
Ia akan memberi fokus secara holistik dengan melihat ke hadapan terutamanya dalam tiga bidang tumpuan MARA iaitu keusahawanan, pendidikan dan pelaburan serta mengetengahkan strategi ampuh untuk mensinergikan ketiga-tiga sektor untuk menghasilkan impak maksimum dalam pembangunan Bumiputera dan negara.
Ketika menggubal draf pelan jangka panjang ini, MARA telah mendapatkan pandangan pemegang taruh yang berkepentingan dan pada masa sama akan memastikan ia adalah selari perancangan pembangunan negara secara keseluruhan, kementerian berkaitan pembangunan Bumiputera dan juga agensi terbabit. Semoga dengan perancangan ini, MARA akan dapat terus berperanan menjunjung amanah rakyat dan menggerakkan usaha memperkasa kaum Bumiputera demi pembangunan negara.
MARA akan terus komited dan agresif dalam memperkasakan agenda Bumiputera dengan sentiasa mengemaskini dasar dan polisi supaya segala strategi pelaksanaan program adalah menepati hala tuju dan keperluan negara. Segala usaha perlu disatupadukan supaya MARA lebih progresif mempersiapkan Bumiputera menghadapi cabaran yang mendatang.

Kredit : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/03/791287/mara-komited-agresif-perkasa-agenda-bumiputera-sejak-55-tahun

Share This